Khamis, 21 Februari 2008

BATALION KEDUA PULUH EMPAT

REJIMEN ASKAR MELAYU DIRAJA

SEJARAH AWAL PENUBUHAN

1. Dari segi sejarah penubuhan, Batalion ke 24 Rejimen Askar Melayu DiRaja berasal daripada Pasukan Tentera Tempatan Persekutuan yang ditubuhkan pada tahun 1959 di Negeri Pahang Darulmakmur. Pada tahun 1969 pasukan ini telah disusun semula dan ditubuhkan menjadi Batalion Ke-12 Rejimen Askar Wataniah (12 MTA) tanpa kerahan. Oleh kerana keperluan negara dan keadaan keselamatan yang kurang stabil, 12 MTA telah dikerah sepenuh masa pada tahun 1963 di Kem Rabit, Temerloh, Pahang. Pegawai Memerintah yang pertama ialah Lt Kol Tengku Ahmad Shah Ibni Sultan Abu Bakar (Sultan Pahang sekarang) yang mana pada masa itu baginda adalah DYMM Tengku Mahkota Pahang. Pada tahun 1963, sesuai dengan ancaman, Batalion ini telah dikerahkan sepenuh masa.

2. Pada 1 Mac 1979, sesuai dengan rancangan istimewa dan perkembangan ATM, 12 MTA telah dijadikan sebagai Batalion Ke 24 Rejimen Askar Melayu DiRaja. Pada masa itu pasukan sedang menjalankan Operasi Kota Golf di Lebuhraya Timur Barat. Acara proklamasi ini telah diadakan di dalam satu perbarisan di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur. Perbarisan bersejarah ini telah diadakan di Stadium Angkatan Tentera Kuala Lumpur dengan Kuasa Penubuhan FED/(M)/3000/6/72.DE. Kekuatan Pegawai dan LLP semasa penubuhan terdiri dari 30 Pegawai dan 348 LLP. Pegawai Memerintah pertama adalah Lt Kol Wan Idris bin Wan Mustafa. Kem yang pertama diduduki oleh 24 RAMD di Kem Semenggo, Kuching, Sarawak pada Dis 1979.

PENGENALAN PASUKAN

2. Cogankata Pasukan “BERBAKTI BERKORBAN”. Cogankata ini adalah sebagai perangsang bagi meniupkan semangat kepada semua anggota pasukan ini yang sedia berjuang berteraskan kepada kerelaan dan kesetiaan untuk menabur khidmat bakti dan kesediaan untuk berkorban demi menjamin keutuhan dan kestabilan negara, bangsa dan agama.

a. Pengertian Cogan Kata.

(1) Berbakti. Sedia berbakti di mana sahaja dan berjuang pada sebilang masa serta menunjukan sikap taat setia yang tidak berbelah bagi kepada negara bangsa dan agama.

(2) Berkorban. Sentiasa sedar setiap bakti dan perjuangan memerlukan pengorbanan. Oleh itu, dalam mengelakan ketenteraman dan demi keuntuhan negara, setiap anggota pasukan ini rela berkorban jiwa raga.

BARISAN PEMIMPIN.

3. Pegawai Memerintah. Sejak hampir 28 tahun penubuhan, battalion ini telah dipimpin oleh 14 orang Pegawai Memerintah. Dari jumlah tersebut seramai 3 orang Pegawai Memerintah yang berkaliber telah menjawat jawatan penting dalam perkhidmatan. Antaranya adalah Jen Tan Sri Mohd Zahidi bin Haji Zainuddin (410146), Pegawai memerintah yang ke-3 sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia (PAT) yang ke-14 mulai 1 Jan 99. Selain daripada itu juga Pegawai memerintah yang ke-2, Brig Jen Dato’ Anuar bin Mohd Amin (12377) telah menjawat jawatan sebagai Panglima Briged ke-6 Infantri Malaysia. Brig Jen Dato’ Jaafar bin Arshad, AKS BPA juga adalah bekas Peg Memerintah yang ke-6, manakala Pegawai Memerintah yang ke-8 Mej Jen Datuk Pahlawan Zulkifli bin Zainal Abidin (3000599) sebagai AKS P&P.

4. Sarjan Mejar Rejimen. Semenjak penubuhan pasukan hingga sekarang, seramai 11 orang Sarjan Mejar Rejimen (SMR) telah berkhidmat di pasukan ini.

PENEMPATAN PASUKAN

5. Lokasi-lokasi penempatan pasukan adalah seperti berikut:

(a) Kem Sri Pantai, seberang Takir, Kuala Terenngganu.

- 1 Mac 1979 hingga 26 Dis 1979.

(b) Kem Semenggo Kuching Sarawak.

- 26 Dis 1979 hingga 11 Nov 1983.

(c) Kem Pengkalan Chepa Kota Bahru Kelantan.

- 11 Nov 1983 hingga 16 Nov 1994.

(d) Kem Sri Kinabatangan, Sandakan Sabah.

- 16 Nov 1994 hingga 15 Nov 2000.

(e) Kem Rasah, Seremban, Negeri Sembilan.

- 15 Nov 2000 hingga Sekarang.

SUMBANGAN

6. Sepanjang penubuhan pasukan, banyak sumbangan terutamanya dari segi keselamatan Negara dan juga pembangunan Negara telah dilaksanakan. Sumbangan ini adalah tidak terbatas dalam konteks operasi ketenteraan malah ia juga meliputi operasi-operasi membantu pihak berkuasa awam dan juga projek jiwa murni. Antara operasi-operasi yang melibatkan pasukan ini adalah seperti berikut, OP INDERA XII, OP KERIS 14, OP KHAS KERIS, OP PARANG/GABUNGAN, OP KERIS PARANG/GABUNGAN, OP NGAYAU KENYALANG, OP UKUR, OP KEMUDI II, OP KERIS KARTIKA IV, OP NGAYAU, OP KHAS KONG HEE, OP JALAN AMAN I/II, OP JALA AMAN III/IV, OP KOTA GOLF, OP HENTAM GALAS, OP INDERA KHAS, OP INDERA 5/84, OP KOTA ECHO, OP KOTA ECHO/FOXTROT, OP KOTA BRAVO 3/92, OP KOTA CHARLIE/DELTA 6/93, OP ASLI 2/94, OP BALASAH 1/95, OP BALASAH 2/96, OP BALASAH 4/96, OP BAYU, OP BALASAH 1/97, OP MERPATI, OP BALASAH 3/97, OP MERPATI 3/97, OP BALASAH 2/98, OPMERPATI 2/98, OP BALASAH 5/98, OP BALASAH 1/99, OP BALASAH 4/99, OP BALASAH 6/99, OP PASIR, OP BALASAH 3/2000, OP PASIR 3/2000, OP KONGKOI 1/2001, OP MERPATI 3/2001, OP MERPATI 1/2002, OP KONGKOI 3/2002, OP KONGKOI 1/2003, OP MERPATI 2/2003, OP KONGKOI 4/2003, OP KONGKOI 2/2004, OP MERPATI I dan II 6/2004, OP MERPATI I dan II 5/2005 dan OP PASIR BERSAMA SEKTOR (UTARA) 1/2007.

7. Semasa melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan, pasukan telah mencapai beberapa kejayaan. Antara kejayaan yang telah dicapai adalah semasa OP INDERA XII pada 25 Jun 1979 yang berjaya membunuh tiga orang PGK iaitu Lai Kwai, Seng, Lai Chea Kong dan You Kwai Chan dan merampas beberapa peralatan persendirian dan juga keperluan untuk membuat jerangkap samar. Kejayaan yang paling bermakna bagi pasukan dalam operasi melawan Insurgensi ialah berjaya membunuh PGK DCM Goh Loy Seng @ Low Foo iaitu Ketua Kumpulan Klau/ Sungai Ruan pada 291745H Jun 1979, semasa dalam perjalanan membuat ronda telah bertempur dengan musuh.

8. Dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab, sememengnya kehilangan nyawa anggota tidak dapat dielakkan. Seramai 5 anggota pasukan telah terbunuh manakala tiada anggota yang cedera didalam tugas gerakan. Senarai anggota tersebut adalah seperti berikut:

a. Allahyarham 1018703 Pbt Helmi bin Haji Nordin. Pada 25 Jun1979, semasa OP INDERA XII, Allahyarham telah terbunuh diserang hendap oleh musuh semasa balik daripada membuat rondaan di Sungai Chalit, Raub Pahang.

b. Allahyarham 1027257 Lkpl Abd Wahab bin Ngah Karim. Pada 19 Apr 1983, semasa Semasa OP JALA AMAN I, Allahyarham telah terbunuh ditembak musuh semasa membuat kepungan musuh di kawasan tanggungjawab Hutan Simpanan Naman Assan, Sibu Sarawak.

c. Allahyarham 1018710 Pbt Ideris bin Hussin. Pada 19 Apr 1983, semasa Semasa OP JALA AMAN I, Allahyarham telah terbunuh ditembak musuh semasa membuat kepungan musuh di kawasan tanggungjawab Hutan Simpanan Naman Assan, Sibu Sarawak.

d. Allahyarham 1044748 Pbt Jailani bin Chula. Pada 19 Apr 1983, semasa Semasa OP JALA AMAN I, Allahyarham telah terbunuh ditembak musuh semasa membuat kepungan musuh di kawasan tanggungjawab Hutan Simpanan Naman Assan, Sibu Sarawak.

e. Allahyarham 1072002 Pbt Wan Ghazali bin Wan Lat. Pada 12 Nov 1988, semasa OP KOTA ECHO, Allahyarham telah terbunuh semasa subunit bergerak ke tempat baru, ketika menyeberangi jeram bertingkat-tingkat dan berbatu, soldadu telah tergelincir dan terjatuh ke bawah setinggi 30 meter di atas batu di Hulu Sungai Kenarong.

9. Di sebalik perginya pahlawan-pahlawan yang gugur semasa operasi terdapat juga mereka yang berjaya menunjukkan kecemerlangan dan keberanian semasa pertempuran. Pastinya kejadian ini dapat dijadikan kenangan manis dan membuktikan bahawa 24 RAMD juga mampu melaksanakan gerakan dengan jayanya dalam operasi yang dijalankan. Anggota yang telah berjaya menunjukkan keberanian ialah 1018563 PW II Ngah Karim bin Mat Ari. Pada 291745H Jun 1979, semasa dalam perjalanan membuat ronda telah bertempur dengan musuh dan beliau telah berjaya menembak seorang PGK DCM Goh Loy Seng @ Low Foo iaitu Ketua Kumpulan Klau/Sungai Ruan di Sungai Chalit, Raub Pahang (OP INDERA XII). Penghargaan yang diterima ialah PJK.

PUSAT CEMERLANG SEPAK TAKRAW RAMD/TD

10. Pusat Cemerlang Sepaktakraw RAMD yang sebelum ini dikenali sebagai Kelab Sepaktakraw RAMD telah ditubuhkan pada tahun 1989. Pusat Cemerlang ini telah mula dikendalikan oleh pasukan 24 RAMD sejak tahun 2000 hingga kini. Semenjak penubuhannya, Pusat Cemerlang ini telah banyak mengalami perubahan dari segi pengurusan sumber manusia, latihan dan pembangunan infrastrukturnya. Kejaguhan Tim Sepaktakraw RAMD semenjak penubuhannya memang tidak boleh diragukan. Ini dapat dilihat dengan kejayaan-kejayaan RAMD semasa kejohanan sepak takraw antara Kor. Lebih membanggakan lagi, majoriti daripada pemain-pemain TD didominasi oleh pemain - pemain RAMD. Di peringkat ATM sekarang ini, seramai 10 orang pemain RAMD sedang menjalani latihan bersama skuad elit ATM.

PENUTUP

10. Dalam rentetan perjalanan 24 RAMD, tidak semuanya diwarnai dengan keceriaan, kegemilangan kejayaan. Kitaran hidup manusia tidak semestinya menjanjikan kebahagiaan yang berterusan. Kehilangan anggota adalah satu yang pahit tetapi ia adalah sesuatu yang harus diterima oleh setiap manusia. Walau pun ianya menjadai satu lipatan sejarah yang pahit tetapi ianya mestilah dikenang untuk dijadikan pedoman di masa mendatang. Warga 24 RAMD sentiasa dana kan terus memperjuangkan panji-panji demi kedaulatan agama, bangsa dan negara tercinta.

Tiada ulasan: